Thursday, 23 June 2011

PD Pantai Maksiat?


PORT DICKSON: Biarpun berada di tempat tumpuan awam, segelintir pasangan remaja dikesan tidak segan silu melakukan adegan tidak senonoh di pantai berhampiran Batu 3, Bagan Pinang, di sini, sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa pengunjung. Malah, aktiviti berkelah di tepi pantai sepatutnya dijadikan medan mengeratkan hubungan kekeluargaan, namun pengunjung disajikan dengan adegan bercumbu pasangan kekasih. Bukan saja duduk berdua-duaan di kawasan terpencil dan gelap, namun pasangan terbabit berpelukan dan bercumbu.

Tinjauan Metroplus mendapati kebanyakan mereka bukan saja berkunjung dan melakukan aktiviti tidak bermoral terbabit pada waktu siang, sekali gus membawa pada waktu tengah malam sehingga awal pagi di persisiran pantai mahupun di dalam kereta. Penduduk tempatan mendakwa, kebanyakan pasangan berusia 20-an termasuk pelajar kolej swasta dari daerah ini mahupun negeri lain selalu berkunjung ke situ antara jam 5 petang hingga ke awal pagi.

Pengunjung, Nourzita Hamidon, 34, berkata dia tidak selesa berkelah dengan keluarga apabila melihatkan aksi melampau segelintir pasangan yang dipertontonkan kepada kanak-kanak.

“Mereka bukan saja beraksi dengan liuk badan yang memalukan, malah turut berpakaian tidak sopan hingga memperlihatkan alur dada dan punggung ketika duduk bersama pasangan.

“Malah, anak-anak pernah bertanya mengenai cara pemakaian mereka yang terdedah dan kelakuan sumbang pasangan terbabit,” katanya.

Katanya, sejak kawasan jalan pantai itu dinaik taraf dengan kemudahan letak kereta, ia sering dipenuhi kenderaan yang berhenti khususnya malam minggu, sekali gus pengunjung lain merakamkan adegan manja pasangan kekasih di dalam kenderaan.

Seorang lagi pengunjung dikenali sebagai Harun, 42, berkata kawasan berkenaan kadangkala tidak sesuai dijadikan lokasi kunjungan mereka yang sudah berkeluarga kerana khuatir adegan tidak senonoh itu dilihat kanak-kanak. Katanya, pihak bertanggungjawab perlu melakukan pemantauan dan rondaan berterusan bagi membendung gejala itu yang semakin berleluasa dan mengundang rasa tidak senang di kalangan pengunjung.

Sumber Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...