Penulis-penulis Eropah seperti Tome Pires yang terkenal dengan karyanya Suma Oriental, Godinho de Eredia dan Duarte Barbosa pernah menulis bahawa kapal-kapal milik bangsa Melayu yang berlayar dan berlabuh di pelabuhan Melaka adalah bersaiz besar. Dicatatkan juga dalam buku Sulalatus Salatin, kapal milik Sultan Mahmud Syah iaitu Sultan Melaka yang berlayar menuju ke Majapahit atas lawatan rasmi pada abad ke 15 merupakan kapal yang bersaiz besar. Nama kapal tersebut adalah 'Mendam Berahi'. Kapal Mendam Berahi dikatakan jauh lebih besar dan hebat berbanding kapal Portugis Flor de la Mar. Tetapi, mengapakah di Melaka, terdapat tugu kapal penjajah diletakkan ? Mengapa tidak diletakkan tugu atau replika kapal Mendam Berahi milik bangsa Melayu yang jauh lebih hebat ?
Orang-orang Eropah sendiri pun kagum dengan teknologi pembuatan kapal orang Melayu. Mereka juga kagum bagaimana orang Melayu mengemudi kapal-kapalnya di laut sehingga mereka mencatatkan dalam buku-buku mereka lalu menjadi rujukan sejarah pada zaman kemudian. Tetapi, sebaliknya berlaku, kita lebih banyak mengagungkan penjajah walhal mereka telah menjajah dan menjarah hasil bumi negeri ini beratus tahun lamanya. Pelik Bin Ajaib.
Perbezaan Kapal Portugis Flor De La Mar dengan Kapal Mendam Berahi
Jika orang-orang Rom berbangga dengan kapal perang mereka ketika berada di Laut Mediteranean, perasaan bangga ini mungkin bertukar sebaliknya apabila berhadapan dengan kapal-kapal pedagang Melayu ini (Kunlun Po) ketika perjalanan mereka ke Afrika atau ke Teluk Parsi.Kapal-kapal yang besar ini dengan teknologi perkapalan yang canggih tanpa menggunakan paku (ini ciri khas seni pertukangan dan arkitek Melayu Purba, sepertimana pembinaan istana dan rumah), teknologi imbangan kapal dan sistem layar yang dinamik, menunjukkan ada tamadun purba yang hilang di Kepulauan Melayu, yang amat maju dan makmur ,sejak kita tahu tentang penemuan penyelidik USM tentang puing-puing kilang-kilang melebur besi di Lembah Bujang dan tapak kota lama di Manjung dan Beruas. Jadi tidak hairanlah di dalam Hikayat Merong Mahawangsa ada diceritakan tentang putera Rom yang berlayar untuk majlis perkahwinannya dengan puteri China, kemungkinan besar putera Rom ini menyewa kapal 'Kunlun Po' ini, kapal besar Melayu dahulukala untuk menemui puteri China.
Orang-orang Melayu Nusantara juga orang pertama yang menggunakan takal bulat berbanding ketika itu pelaut Arab dan China menggunakan takal segitiga.Ini kerana Tamadun Purba Melayu adalah pencipta takal bulat.
Perhatikan perdagangan kulit kayu manis oleh para pedagang Melayu sehingga mencapai Yunani (Greece), Phoenicia (Kanaan Kuno) dan Yahudi Kuno (Hebrew) sehinggakan kata 'cinnamon' dalam bahasa Yunani dikatakan oleh pengkaji ini diceduk dari perkataan Melayu Kuno selepas diubahsuai dari perkataan Phoenicia dan Yahudi. Di kota purba Aden (Di Yaman kini) terdapat penempatan para pedagang Melayu menurut teks Arab kurun ke 13. Maka tidak hairanlah rempah-rempah dan harum-haruman boleh tiba di istana Firaun dan benih-benih bunga-bungaan dan pokok-pokok tropika boleh tiba di kota Babilon.
Dalam Kitab Rujar, Al-Idrisi,sejarahwan Arab Kuno telah mencatatkan:
"Penduduk Zabaj telah berlayar ke Sofala dan mengeksport besi dari sana,membekalkannya ke seluruh India.Tiada besi yang mampu dibandingkan dengan mutu dan kehalusan buatan dari Zabaj ini.Penduduk Zabaj kerap dipanggil di Zanj di dalam kedua-dua kapal besar dan kecil mereka dan berdagang barangan dengan mereka, sebagaimana mereka memahami behasa masing-masing"
Zabaj adalah panggilan orang Arab bagi Srivijaya,empayar maritim Melayu terbesar di Asia Tenggara. Di sini kita tahu sejak zaman Srivijaya,orang Melayu sudah pandai mengeksport besi pula ke India!
Situasi Empayar Srivijaya yang memiliki kapal-kapal yang menakjubkan (contohnya Lancang Kuning yang dinaiki Emperor-emperor Srivijaya) disentuh oleh seorang pakar perkapalan Jerman, Horts H.Liebner ketika ditemuramah oleh The Jakarta Post:
"Five hundred years before groups of ocean conquistadors from Portugal began their journey to look for new territories, ships from the islands now known as Indonesia were traveling around Asian waterswith very advanced technology.The preliminary scientific reconstruction of a shipwreck recovered from the Java Sea found that the ship had better technology than those from Europe,China or Japan.The ship,believed to have sunk between 930 AD and 990 AD in a storm, was also bigger and better constructed.Our preliminary analysis concludes that the ship was 25 to 35 meters long and 12 meters wide. At that period, China still had no ships thatcould sail the oceans, while European ships were much smaller. Imagine,the ship Columbus used to sail to America and 15th century Europeanships were all less than 20 meters,"
Di dalam Perang Kedah-Thai pada abad ke 19, ada diceritakan tentang kesukaran tentera Thai untuk mengalahkan tentera Kedah ketika peperangan di laut. Ini menyebabkan Thai menggunakan taktik pengecut yang sekian lama digunakan apabila berasa terancam dengan kekuatan musuh; meminta bantuan kuasa Eropah, dalam kes ini meminta bantuan Inggeris.Angkatan Tengku Kudin (Tengku Kudin dianggap Inggeris sebagai 'lanun' Melayu paling licik dan dikehendaki) telah dikepung di dalam Kota Kuala Kedah oleh kira-kira 80000 tentera Siam.Askar bantuan dihantar dari Sungai Perai, namun tiba-tiba dibedil Inggeris yang campurtangan setelah berpakat dengan Thai. Wan Muhammad Ali (anak Datuk Seri Kerma Jaya) yang begitu berjaya dalam kempen menentang tentera Thai di laut sebelum itu telah diserang dan dikejar oleh kapal perang Inggeris. Ilmu pelayaran dan teknologi pembuatan kapal layar yang ada pada orang Melayu nyata berguna pada Angkatan Wan Muhammad Ali yang berjaya menghindari kapal perang Inggeris. Dengan jong yang lebih ringan dan laju angkatan tersebut berjaya menjarakkan diri dari angkatan Inggeris dan belayar bersembunyi di selat-selat kecil di Langkawi.Namun Inggeris yang tidak berpuas hati telah maju ke Pulau Langkawi dan menyerang kubu dan merampas meriam-meriam orang Langkawi dikala tentera-tentera pengecut Thai menunggu-nunggu berita peperangan Inggeris dengan tentera laut Kedah yang sukar ditewaskan mereka itu. Wan Muhammad Ali terpaksa berundur ke Sumatra dan menetap di sana.
Kedah akhirnya berjaya menghalau tentera Thai setelah menyaksikan kelicikan Paduka Raja Jambangan atau Tunku Anum (Lelaki). Dengan helah dan tipu muslihatnya, Kedah dapat dibebaskan dari taklukan Thai. Beliau telah dianugerahkan wilayah Kubang Pasu sebagai negeri yang bebas dari Kedah oleh Sultan Ahmad Tajuddin.Dalam kempen yang diketuainya, Tunku Anum membiarkan dirinya menjadi tawanan raja Ligor untuk mengkaji kekuatan Angkatan Ligor yang merupakan penghasut utama kepada raja Thai supaya menyerang Kedah.
Anda boleh menghayati kenangan kehidupan dari sisi kapal-kapal Melayu dan kehidupan pelaut dengan membaca dua karya tentang perkara ini, iaitu Novel Sukma Angin hasil karya Sasterawan Negara Arena Wati. Novel ini mengisahkan kehebatan kapal layar dagang Melayu terakhir. Satu lagi adalah karya penulis tersohor tanahair, Faisal Tehrani dengan karyanya, Bedar Sukma Bisu.
Begitulah kisah silam orang Melayu Nusantara yang gemilang.Bagaimana Tamadun Mesir dan Sumeria mengenal Dunia Melayu dengan rempah, kapur barus dan wangi-wangian kemenyan, dunia juga mengenal bangsa ini sebagai pelaut, pelayar dan pengembara maritim yang gagah. Tidak mengapa jika anak-anak Melayu pada hari ini memperlekehkan sejarah bangsanya, namun dunia tidak pernah lupa kepada kegigihan para pelayar Melayu ini meredah ombak, merenung bintang-bintang di langit dan merasa pergerakan angin, berlayar beribu-ribu batu, sehingga sampai ke pantai-pantai Afrika, Teluk Parsi dan Mediteranean.
Tidak mengapa jika anak-anak Melayu pada hari ini memperlekehkan kemampuan nenek moyang mereka, namun dunia masih menyimpan kenangan bagaimana pelaut-pelaut Melayu tekun bertukang membina kapal-kapal, memasang layar dan menyorong kapal ke laut. Ombak dan pantai masih mengingati para pelaut ini menyeka peluh dan membanting tulang melaraskan layar-layar dan kemudi kapal. Angin laut masih rindukan wajah-wajah pengembara Melayu menyongsong ganas ombak dan azab di lautan, kerana angin dan bayu laut inilah teman mereka gembira dan menangis ketika kesepian di tengah-tengah lautan luas. Tidak mengapa anak-anak Melayu mengetawakan para pelaut ini, namun dakwat para pengkaji Barat dan Timur masih hitam lagi membela para pelaut Melayu ini dari kejahilan dan kedunguan anak-anak Melayu yang terjajah mindanya oleh penjajah.
Jika sekiranya orang Melayu duduk di hutan dan gua-gua sambil bermain dengan monyet dan tupai, sekurang-kurangnya fikirkanlah, bagaimana keturunan Merina di Madagaskar mengaku berasal dari Kepulauan Melayu dan bahasa Malagasy adalah sekelompok dengan bahasa Melayu bukan bahasa Afrika.Para pelaut Melayu telah berlayar sehingga ke Madagaskar dan Afrika menghasilkan raja-raja Dinasti Merina yang telah memerintah Madagaskar sekian lama sehinggalah penjajah Perancis tiba. Kehebatan ilmu pelayaran Melayu yang sanggup belayar hingga ke Afrika ini diabadikan oleh seorang pengkaji sejarah orang Melayu dari Eropah, John Tiffany sebagai “The Viking of the Orient”
Sepatutnya kerajaan Melaka membina kembali kapal Mendam Berahi,bukannya kapal Flor de La Mar malahan kapal Mendam Berahi lebih besar dan hebat dari Flor de La Mar. Flor de La Mar hanya sebagai bukti jiwa Melayu yang terjajah,namun jika anak Melayu hari ini dapat melihat replika Mendam Berahi, betapa mereka nanti akan menyelami kehebatan nenek moyang mereka membina kapal yang sehebat itu.Menyelami sehingga ke sejarah pelayaran Melayu ke Madagaskar, menjadi raja-raja Merina, memerintah suku-suku kaum Afrika di pulau itu.
Satu perkara yang menyentuh jiwa berkenaan raja-raja Merina ini, apabila mereka meninggal dunia, mereka mewasiatkan mayat mereka ditanam di dalam makam berbentuk rumah tradisional Melayu, walaupun kehidupan harian mereka tidak berbeza dengan suku-suku kaum Afrika yang lain.
anak muda yang terjajah minda dan pemikiran lebih kepada cara barat.banyak pihak yang cuba untuk kembalikan semangat orang dahulu dalam diri generasi kini,tapi tak berapa berjaya nampknya.hanya segelintir sahaja yang mahu berfikir dan mula untuk mancari jati diri dan identiti bangsa yang dulu dipandang tinggi agar kembali menjadi anak malaya yang berani untuk mempertahankan negara dan jati diri bangsanya.
ReplyDeleteanak muda sekarang lebih berminat nak jadi instafamous, maharaja lawak, mat rempit.....
ReplyDelete