Monday 27 June 2011

Ada Ke Bir Halal?


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sijil halal kepada pengeluar produk minuman 'bir halal' di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha  berkata, JAKIM juga tidak mengiktiraf sijil halal daripada syarikat produk minuman yang diimport dari negara Timur Tengah itu.




"Ini kerana produk minuman berkenaan tidak menepati piawaian dan prosedur makanan halal mengikut Standard Halal Malaysia MS 1500:2009," jelasnya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau mengulas laporan akhbar mengenai penjualan produk minuman jenis bir yang kononnya halal dan banyak dijual di restoran tumpuan umat Islam termasuk yang menghidangkan sajian nasi Arab.
Berdasarkan kajian, ada produk yang diimport dari negara Arab itu didakwa mempunyai kandungan alkohol 0.05 peratus dan adalah haram diminum oleh pengguna Islam kerana melepasi had 0.01 peratus yang ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Apa yang yang boleh dilaksanakan adalah dengan menahan pengambilan sementara produk yang diklasifikasi sebagai syubhah. Berdasarkan  kepada hadith:

"Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya ada yang syubhat, manusia tidak banyak mengetahui. Siapa yang menjaga dari syubhat, maka selamatlah agama dan kehormatannya. Dan siapa yang jatuh pada syubhat, maka jatuh pada yang haram. " (HR Bukhari dan Muslim).


Berita dari Bernama :

Keputusan berkenaan isu 'bir halal' hanya akan dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jakim Mat Ali Sarbini.

Beliau berkata sehinggalah Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengenainya, bir berkenaan itu adalah haram untuk diminum oleh umat Islam.

Beliau berkata pada masa ini sampel bir berkenaan masih berada di makmal-makmal universiti tempatan untuk dikaji perincian kandungannya termasuk alkohol.

"(Keputusan) belum (ada) lagi. Masih dalam peringkat penyelidikan. Oleh kerana makmal ini mempunyai giliran-gilirannya, jadi banyak benda-benda yang perlu diberikan keputusan yang menjadi perhatian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Pengarah Jakim Othman Mustapha merasmikan mesyuarat agung Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) kali ke-16 di Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields hari ini.

Isu bir halal timbul sejak 28 Mei lalu selepas akhbar melaporkan penjualan bir berkenaan di pasaran semakin popular di kalangan umat Islam di negeri Johor dan penjualannya dikesan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).


Pada 29 Mei lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan berkata umat Islam tidak dibenarkan meminum bir berkenaan kerana kandungan alkohol bir berkenaan sebanyak 0.5 peratus iaitu melebihi paras alkohol yang dibenarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu 0.01 peratus.

Minuman yang diimport dari sebuah negara Islam di Timur Tengah itu banyak terdapat di kafe-kafe di negara ini dan dijual antara RM3 hingga RM5 sebotol.

Mat Ali berkata pada bulan depan Jakim akan mengedarkan naskhah Al-Quran dalam bentuk Braille kepada Jabatan Agama Islam Negeri bagi diagihkan kepada sekolah-sekolah orang cacat penglihatan di negeri masing-masing.

Beliau turut berkata bantuan yang diberikan kepada orang cacat penglihatan bukan sahaja meliputi bantuan Al-Quran dalam bentuk Braille tetapi juga meliputi bantuan-bantuan lain termasuklah kewangan.

Pada majlis itu, Mat Ali menyerahkan dua naskhah Al-Quran Braille berharga RM500 sebuah sumbangan Malaysia Building Society Berhad (MBSB) kepada dua anggota Pertis.


*KK tak berani nak ulas bab hukum ni tapi KK tak berani la nak cuba dengan warna air yang lebih kurang sama dengan bir dan dikatakan rasanya yang masam. Lebih baik KK minum Teh Hijau,ada jugak khasiatnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...