"HABIS LAH! Kita akan terhempas. Ini tidak mungkin terjadi!" kata salah seorang pembantu juruterbang.
"Tapi, apa yang berlaku?" balas seorang lagi pembantu juruterbang,
beberapa saat sebelum pesawat 330 Airbus milik Air France menjunam ke
Lautan Antlantik, yang mengorbankan 228 nyawa pada 1 Jun 2009.
Perbualan akhir dalam kokpit dengan situasi cemas dan takut itu
diperoleh hasil transkrip daripada kotak hitam pesawat yang ditemui
selepas dua tahun kejadian tersebut berlaku. Menerusi analisis terhadap kotak hitam tersebut, Biro Penyiasatan dan
Analisis Perancis (BEA) menggambarkan keadaan di dalam kokpit Pesawat
447 Air France itu dalam situasi huru-hara serta kekeliruan juruterbang
hingga membawa kepada kemalangan.
Pesawat 447 yang sepatutnya terbang selama 11 jam ke Paris dengan
membawa 216 penumpang dan 12 anak kapal itu terhempas semasa merentasi
kawasan ribut di Lautan Atlantik setelah empat jam berlepas dari
Lapangan Terbang Tom Jobimi, Rio de Janeiro, Brazil. Sehingga kini, hanya perbualan antara juruterbang, Kapten Marc
Dubois, 58, dan dua pembantu juruterbang, David Robert, 37 tahun dan
Pierre Cedric Bonin, 32, berjaya dianalisis keluar dari kotak hitam.
Keadaan kotak hitam pesawat Air France 447 ketika ditemui di dasar laut
Analisis ke atas kotak hitam pesawat 447 Air France tersebut telah
membawa kepada penemuan antara punca kejadian nahas udara berkenaan di
samping mengambil kira faktor-faktor lain. Kotak hitam bukan sahaja mampu merungkaikan persoalan kepada
teori-teori tentang kehilangan atau nahas sesebuah pesawat, namun ia
merupakan saksi akhir yang penting dalam menemukan jawapan tentang apa
sebenarnya berlaku ke atas pesawat.
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia
(UPM), Prof. Madya Dr. Kamarul Arifin Ahmad memberitahu, kotak hitam
adalah satu istilah yang dialih bahasa daripada bahasa Inggeris iaitu
black box dan ia juga istilah untuk dua peralatan penting yang wajib ada
dalam pesawat. Peralatan pertama dalam kotak hitam adalah perakam suara kokpit (CVR) manakala satu lagi ialah perakam data pesawat (FDR).
Peralatan CVR yang ada dalam sistem pesawat mempunyai mikrofon dan ia
dipasang di bahagian tengah panel kawalan dalam kokpit. Selain itu, ia
turut dipasang pada mikrofon komunikasi juruterbang dan pembantu
juruterbang. "Jadi, CVR akan memainkan peranan merakam segala perbualan dalam
kokpit dan juga segala bunyi daripada sekecil-kecil bunyi termasuk
ketika memadam suis sehingga kepada bunyi penggera amaran apabila
pesawat hilang kawalan.
"Bagaimanapun, lazimnya CVR merakamkan bunyi bagi tempoh dua jam
terakhir tamatnya sesuatu penerbangan tersebut. Ini bermaksud, dalam
tempoh itu sama ada pesawat itu selamat mendarat atau terhempas,"
katanya. Mengambil contoh kejadian MH370 yang berakhir di Lautan Hindi,
Kamarul menambah, kemungkinan rakaman perbualan yang berlaku di Laut
Cina Selatan sebelum itu tidak dapat diperoleh memandangkan jarak dan
tempoh masa kejadian telah melebihi dua jam terakhir. Mengupas lebih lanjut, beliau memberitahu, dahulunya kotak hitam
menggunakan sistem analog (pita rakaman seperti kaset) dan ia boleh
membuat rakaman dalam setiap 30 minit terakhir sahaja. Namun selepas beberapa tahun kebelakangan ini, tempoh rakaman tersebut telah ditingkatkan kepada dua jam terakhir.
"Dalam tempoh dua jam berkenaan (tempoh kecemasan), juruterbang yang
mengendalikan pesawat akan cuba berpatah balik untuk melakukan
pendaratan kecemasan atau sebaliknya ditimpa musibah iaitu terhempas,"
ujarnya. Berbeza dengan FDR pula, Kamarul menjelaskan, sistem itu berupaya merakamkan data sepanjang penerbangan dengan kapasiti 24 jam. Katanya, ada banyak data akan tersimpan menerusi sistem FDR. Antara
data terpenting ialah kelajuan pesawat, ketinggian pesawat dari aras
laut selain kedudukan terkini pesawat tersebut.
Pada masa sama, FDR turut merakam data seperti status atau jumlah
minyak pesawat, kedudukan kawalan sayap (daya angkat pesawat) sama ada
berlaku pembelokan atau kenaikan dan penurunan.
Daripada data FDR tersebut, jelas Kamarul, analisis dan siasatan akan
dapat mengetahui secara tepat bagaimana pesawat tersebut terhempas
mahupun mendarat. "Bagaimanapun, bagi mengetahui bagaimana kejadian menimpa sesebuah
pesawat itu bukan bergantung kepada kotak hitam sahaja tetapi ada faktor
lain turut diambil kira, misalnya latar belakang juruterbang, kru dan
para penumpang," jelas beliau.
Sementara itu, Kamarul memberitahu, hanya beberapa negara sahaja yang
memiliki sistem penerima peranti lokasi dalam air (ULD) bagi mengesan
kotak hitam. Katanya, sistem ULD ini akan mengeluarkan isyarat bunyi (beep) setiap
satu saat, namun ia ada kekangan kerana mempunyai had jarak iaitu
lingkungan 3.5 kilometer sahaja. "Kita harapkan kedalaman Lautan Hindi hampir 4,000 meter dengan
puratanya 3.5 kilometer, jika sistem ULD betul-betul berada di atas
kotak hitam, maka ia boleh menerima isyarat bunyi tersebut.
"Disebabkan itu, kita perlu tahu terlebih dulu kedudukan sebenar
pesawat itu terhempas bagi memastikan kotak hitam berkenaan sememangnya
ada di sekitar kawasan pencarian," ujarnya sambil menambah kotak hitam
sebenarnya berwarna oren supaya ia mudah dikesan. Mengenai MH370, kata Kamarul, sebenarnya banyak kemungkinan tetapi
semuanya 'atas meja' yang tidak boleh dipastikan, namun ini bukan
spekulasi tetapi dipanggil sebagai jangkaan secara ilmiah berdasarkan
kepada petunjuk dan seterusnya apa akan berlaku.
Meskipun sistem transponder dan peranti komunikasi dalam pesawat
MH370 telah dimatikan menyebabkan ia hilang dari radar sekunder (utama)
ATC, namun juruterbang boleh berhubung kembali dengan menara kawalan
menerusi radio. - KOSMO
No comments:
Post a Comment