Thursday 24 April 2014

Pulau Nangka - Harta Di Dalam Gua Milik Siapa?


Harta karun dikatakan bernilai berbilion ringgit dipercayai ditanam di dalam sebuah gua di Pulau Nangka, sebuah pulau kecil kira-kira 17 kilometer (km) dari luar pantai di sini. Antara barangan yang dipercayai dalam harta karun itu adalah peti yang mengandungi bar emas, takhta dan pakaian diraja. Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kerajaan negeri telah memberikan permit kepada dua syarikat tempatan untuk menjalankan kerja-kerja penggalian di bawah syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).


"Buat masa ini, mereka hanya diberi kuasa untuk mengumpul bukti bergambar," katanya.
Idris berkata, harta karun di pulau itu dikhabarkan berusia selama berabad-abad dan terdapat banyak cubaan memburu harta berkenaan, di mana sebahagian mereka menggunakan dinamit untuk untuk meletupkan batu, bagi sampai ke gua tersebut.

"Ia tidak saintifik, tetapi penduduk tempatan percaya adanya halangan mistik yang menghalang harta itu daripada dibawa keluar," kata ketua menteri.

Menurut penduduk kampung, gua yang ditanam itu sama ada dilindungi oleh sumpahan atau makhluk halus. Satu kumpulan kecil dilaporkan dapat memasuki ke dalam gua itu kira-kira 30 tahun lalu, tetapi tidak seorang pun yang keluar dengan membawa harta karun itu walaupun hanya sekeping pun. Mereka dilaporkan keluar dalam keadaan berkhayal apabila mendakwa melihat harta karun itu, antara lain lebih 80 peti emas. Difahamkan bahawa wakil kedua-dua syarikat yang akan menjalankan kerja-kerja penggalian untuk kerajaan negeri telah meminta "bantuan kerohanian" sebelum melaksanakan usaha mereka. Antara perkara-perkara yang mereka "bersetuju" adalah untuk mendapatkan persetujuan pentadbiran di negeri itu dan kekayaan daripadanya digunakan untuk manfaat dan kebaikan rakyat.


Pekerja-pekerja yang terlibat dalam projek itu setakat ini menggali beberapa lubang berdiameter 130mm untuk ke dalam gua itu dengan menggunakan peralatan berteknologi tinggi. Difahamkan laporan perkembangan terkini mengenai kerja yang masih berterusan itu diserahkan kepada kerajaan negeri pada minggu lepas. Pulau Nangka terletak kira-kira 4km dari pulau utama negeri iaitu Pulau Besar, destinasi tarikan pelancong yang popular. Pulau yang berbatu itu berukuran kira-kira 20 hektar, mempunyai pantai berpasir begitu luas dengan air jernih yang mengelilinginya. Terumbu karang berdekatan pulau tersebut turut menarik perhatian menarik para penyelam.

Astro Awani pada 15 April 2014 berkongsi laporan berita mengenai usaha cari gali artifak yang dikaitkan dengan harta karun dari Kesultanan Melayu Melaka akan berakhir 30 April ini. Perkara itu didedahkan syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, salah satu syarikat yang memperoleh lesen untuk mencari artifak terbabit. Menurut laporan Sinar Harian 15 April 2014, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia tidak menolak kemungkinan wujud harta karun di Pulau Nangka. Jika wujud harta karun tersebut, ia boleh jadi milik lanun-lanun Eropah yang singgah di perairan Melaka.

Ditanya, adakah mungkin harta dikatakan milik Sultan Mahmud Shah itu ditinggalkan oleh pengiringnya sewaktu Baginda melarikan diri daripada serangan Portugis pada tahun 1511, Omar berkata, perkara itu tidak pernah dinyatakan.

"Tidak ada cerita hikayat Melayu mengenai perkara sedemikian. Menerusi cerita-cerita lama ini, setiap pengiring Sultan adalah terdiri daripada mereka yang setia.

"Mengikut sejarah, semasa Sultan Mahmud Shah melarikan diri ke Bentan, baginda diiringi hampir 300 pengiring yang membawa harta seperti alat-alat kerajaan (keris dan takhta) dan juga emas. Kesemua mereka ini sangat setia kepada Sultan dan tidak akan mengkhianati dengan mencuri dan menyembunyikan harta tersebut," katanya.

Jelasnya, semasa melarikan diri itu, Sultan dan pengikutnya hanya melalui jalan darat untuk mengelakkan diri daripada ditangkap Portugis.

"Jalan laut tidak selamat buat mereka. Jika mereka melalui jalan laut, akan mudah dikepong tentera Portugis berbanding jalan darat yang lebih kepada perkampungan," katanya.


Menurut laporan Sinar Harian 16 April 2014, Pengarah Urusan Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, Mohammad Foad Khushairy Mohd. Said memberitahu, pihaknya mengadakan penyelidikan di pulau berkenaan kali pertama pada Julai 2012 dan menemui tiga tanda besar termasuk ukiran batu berbentuk bulan sabit. Batu berkenaan diperbuat daripada batu kuarza yang dilekapkan pada batu laut dipercayai berusia lebih setengah abad di zaman Kesultanan Islam Melayu Melaka. Selain itu, terdapat ukiran batu peta Pulau Nangka sendiri yang menunjukkan simbol bermaksud adanya pinggan mangkuk lama tersimpan di situ. Semua itu boleh jelas kelihatan semasa air laut benar-benar surut.

Mengikut kajian geoteknikal yang dijalankan, memang wujud bahan artifak lama dan selama hampir tiga bulan ini, kami bukan menemui gua seperti didakwa tetapi merupakan bilik-bilik yang dibina oleh orang terdahulu di zaman Kesultanan Islam Melayu Melaka. Menurut beliau, binaan bilik-bilik berkenaan sama seperti struktur binaan Kota Melaka dan kemudiannya dikenali dengan nama Kota A Farmosa yang dibina oleh orang Melayu Melaka sendiri sebenarnya. Bilik-bilik berkenaan dibina mempunyai banyak fungsi, antaranya bilik mesyuarat dan pelbagai bilik lain. Lebih kurang 20 tahun lepas ketika struktur pintu utama masih elok, kita boleh masuk tapi sekarang pintu tersebut sudah runtuh jadi kita kena buat pintu baru, itu sebabnya tidak boleh masuk.


Sebelum ini saya pernah blogging mengenai kapal Flor De La Mar yang tenggelam di perairan Sumatera dimana ia membawa muatan harta-harta kerajaan Melaka. Menurut buku 'Hang Nadim Laksamana Melaka' karangan Abdul Latip Talib, Sultan Mahmud, isterinya Tun Fatimah, Bendahara Tepok dan pengikutnya melarikan diri melalui jalan darat sehingga bergabung dengan pengikut Hang Nadim dan terus meredah denai serta bukit sehingga la mereka tiba di sebuah tempat bernama Kampung Sayung Pinang. Disini dapat saya simpulkan bahawa mereka tidak pernah menggunakan jalan air untuk melarikan diri,tambahan plak nak sorokkan harta kerana kawasan pesisir pantai telah dikepung oleh armada Portugis.

Persoalannya, kenapa kerajaan Melaka melantik pihak swasta untuk mencari harta di Pulau Nangka sedangkan ia melibatkan kos. Siapa plak yang akan keluarkan belanja atau menjelaskan bayaran untuk pencarian tu? Adakah syarikat swasta tu betul-betul hebat dalam pencarian harta dan mahir mengendalikan artifak-artifak yang bakal ditemui supaya tidak rosak. Yang paling membingungkan ialah jalan cerita bagaimana harta itu boleh berada disana. Adakah ia secebis sejarah kita yang telah disembunyikan? Apa pendapat anda?

1 comment:

  1. Akhirnya apa hasilnya kan??๐Ÿ™‚๐Ÿ™‚lantik org luar,kos byk,abis jahanam persekitaran....alahaiii yg pernah nampak 2 keping...yg dua keping tu pun sapa yg mengesahkan...tahla..payah nak kata..kang cakap salah..x cakap salah..semua salah...baik tengok je la๐Ÿ™‚๐Ÿ™‚๐Ÿ™‚maaf klau pendapat saya x menjawab soalan,sbb saya bukan org bijak pandai...bab harta karun ni bukan semudah disangka nak diambil klau bukan yg hak dan bukan leluhurnya...itu pada kefahaman saya...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...